Kedudukan dalam perlembagaan Dato'_Undang_Luak_Sungai_Ujong

Mengikut Perkara 15 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Dato' Undang Luak Sungei Ujong perlu berunding dengan Dato' Shahbandar Sungei Ujong yang mengetuai Waris di-Ayer Sungei Ujong berhubung hal pemerintahan di luak berkenaan.

Akta Tafsiran 1948 & 1967 mendefinisikan Dato' Undang Luak Sungei Ujong sebagai Pihak Berkuasa Negeri bagi Negeri Sembilan, terutamanya di Luak Sungei Ujong yang meliputi daerah Seremban dan daerah Port Dickson. Dato' Undang Luak Sungei Ujong adalah ketua agama bagi Luak Sungei Ujong.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong bersama Dato' Shahbandar Sungei Ujong mempunyai kuasa persetujuan terhadap pelantikan Dato Muda Linggi dalam kalangan anak Waris Linggi bagi mengetuai Luak Linggi.

Kedudukan Dato' Undang Luak Sungei Ujong diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagai pemerintah (ruler) Luak Sungei Ujong dan Raja bagi Negeri Sembilan bersama dengan Yang di-Pertuan Besar, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol dan Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bersama Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau, Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong bertanggungjawab mengumumkan keputusan muafakat Undang Yang Empat dalam pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu dan menabalkan baginda naik takhta Kerajaan Negeri Sembilan mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Ia adalah kerana secara adatnya, Dato' Undang Luak Sungei Ujong dianggap sebagai 'Imam Undang Yang Empat'.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong bersama Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Dato' Undang Luak Sungei Ujong bersama Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu.
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain dan,
  • pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.